ILMU PENGETAHUAN ADALAH MILIK-MU

“Kalau sekiranya air di lautan dijadikan tinta untuk menuliskan kalimah-kalimah Allah, nescaya akan kering seluruh lautan sebelum habis kalimahkalimah Allah itu dituliskan sekalipun di tambah lagi tinta sebagai air seluruh lautan itu pula.”
Surah al-Kahfi : ayat 109




Alhamdulillahi Rabbilalamin,

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kami bersyukur ke hadrat Mu yang telah mencipta diri kami dari segumpal darah. Engkau Tuhan Yang Maha Pemurah, yang memiliki ilmu pengetahuan. Engkau wahai Tuhan yang mengajar kami sesuatu yang tidak diketahui dengan perantaraan membaca serta menulis. Sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha mengetahui lagi Maha bijaksana.

Subhanallah!

Maha Suci Engkau wahai Tuhan yang telah melanjutkan usia kami menjadi remaja yang berilmu, beriman dan berbakti. Sesungguhnya zaman remaja banyak pancaroba. Apa lagi dalam menghadapi kehidupan di zaman pembangunan dan kemajuan. Kehidupan dunia global menyebabkan banyak perubahan dan pergolakan yang hebat dan mencabar. Perubahan dan pergolakan yang mencabar itu hanya dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan ilmu dan kemahiran yang kita miliki. Justeru itu ia menuntut supaya kami mengamalkan budaya ilmu untuk menghadapi hari-hari seterusnya. Kami masih ingat lagi bahawa pengiktirafan dan jaminanMu di dalam al-Quran terhadap kedudukan yang tinggi keatas orang yang berilmu pengetahuan adalah ternyata tepat dan benar.
Dalam firman Mu Engkau menjelaskan bahawa Engkau akan mengangkat darjat orang yang beriman dan yang mempunyai ilmu pengetahuan dengan beberapa kelebihan, sama ada semasa mereka hidup di dunia dan di akhirat. Ketika kami meneliti dalam suatu firman Mu yang lain, Engkau menjelaskan pula tentang perbandingan orang yang berilmu pengetahuan adalah berbeza dengan orang yang tidak berilmu. Buktinya jelas ternyata orang berilmu, kehidupannya lebih baik daripada orang yang tidak berilmu. Apa lagi dalam menghadapi kehidupan di zaman yang penuh cabaran dan pergolakan. Tanpa ilmu, nescaya kami akan tenggelam lemas dalam gelora arus lautan dan badai yang mengganas.

Wahai Tuhan!

Tambahkanlah ilmu pengetahuan Mu kepada kami supaya kami dapat mengamal dan manfaatkannya dalam kehidupan ini. Semoga keberkatan ilmu pengetahuan yang Engkau anugerah itu dapat memandu kami ke jalan yang benar, di samping dapat kami mengajar, mendidik dan membimbing anak-anak kami. Sesungguhnya ilmu pengetahuan itu adalah milik Mu. Berbahagialah orang yang berjaya memperolehi ilmu, kerana ia dipilih oleh Mu untuk menerima pertunjuk dan kurniaan dari Mu kepada sesiapa yang dikehendaki. Hanya dengan ilmu sahaja kami dapat memartabatkan diri, keluarga, ummah dan negara. Sungguh malang sekali kerana ada sesetengah di kalangan pelajar yang meremehkan ilmu dan tidak ada usaha untuk mempelajari bagi meningkatkan ilmu, sebaliknya mereka lebih mementingkan kesenangan dan kemewahan. Hidup mereka untuk mengejar kebendaan. Sikap dan gelagat sebilangan kecil pelajar dan anak muda hari ini tidak menyanjung ilmuwan amat membimbangkan. Bagi mereka yang bersikap demikian, ilmu merupakan ‘barang’ yang telah hilang daripada kehidupan mereka. Kalau begini sikap dan bentuknya para pelajar dan remaja, tunggulah, pada suatu masa nanti umat Islam akan hilang kekuatan, hilang kemuliaan, menjadi hamba dan melarat di tanah air sendiri, tenaga mereka akan diperas, kuasa mereka akan ditindas, mereka hidup dalam kehinaan dan kepapaan. Semua ini kerana mereka jahil dalam melaksanakan kewajipan diri mereka terhadap Islam. Biarpun banyak ilmu yang kami perolehi, namun keberkatannya tidak akan diperolehi jika sekiranya kami tidak beramal dengannya. Apa lagi jika kami menyalahgunakan ilmu tersebut untuk menipu dan mengkhianati orang lain. Akhirnya ilmu tersebut akan menghilangkan diri dan memudaratkan tuannya .

Wahai Tuhan, Ampunilah segala dosa kami, kedua ibu bapa kami, guru-guru kami yang telah banyak berjasa kepada kami. Mereka mengajar ilmu pengetahuan kepada kami. Mereka telah mendidik kami sehingga kami dapat mengetahui dan mengenal siapa diri kami. Mereka meneruskan tugas rasul Mu, menyampaikan amanat yang telah mereka perolehi daripada al-Quran dan sunah rasul Mu. Kini kami menyedari mengapa kami dilahirkan? Apakah peranan kami sebagai hamba Mu dan ke manakah matlamat kehidupan kami? Lantaran itu kami berusaha untuk menambahkan ilmu pengetahuan semata-mata untuk mengejar keredaan Mu ya Allah! Tanpa didikan daripada mereka siapalah kami. Sesungguhnya jasa mereka sangat besar.

Petikan daripada

Risalah Dakwah : Budaya Ilmu Asas Kecemerlangan Ummah
Terbitan:
Bahagian Dakwah dan Kepimpinan,
Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, KPM

0 comments:

 
Laman Utama | Berita Semasa | Info | Muat Turun | Buku Pelawat |

Copyright © 2009 Aku Seorang Pendidik |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net